MENGAPA
TUN MAHATHIR,... SEDIH ...!!!
SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan
saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya-
perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak
tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan
diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah
mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa
mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa
mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat
memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa
dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.
Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan,
tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri
mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai
Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka
sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.
Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu
adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri
mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat
atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang
dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa
masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.
Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian
dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di
tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di
hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga
mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah
kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok
meminta maaf daripada askar Jepun.
Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu
sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri
Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas
budi Siam.
Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya
menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang
orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam
dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia
jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani
menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh
ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.
Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut
akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac
Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan
raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri
mereka.
Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan
negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi
milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan
tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai
senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba
kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada
mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang
Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak
ada masa depan bagi mereka.
Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar.
Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan
malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka
dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka
bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu
yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan
penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan
kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki
British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.
Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu
ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan
pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan
dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan
lain-lain kemudahan.
Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan
kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan
Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.
Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa
akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka
sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk
bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.
Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri
daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10
daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya
satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.
Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus
menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya.
Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada
Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi,
nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.
Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang
bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa
Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah
dinikmati oleh mereka semasa dijajah.
Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa
Melayu. Alhamdulillah.
Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini
akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya
pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi
dunia.
Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang
Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing
dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan
mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan
yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan
serpihan daripada parti utama mereka.
Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat
menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk
menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana
Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain
yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan,
kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.
Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan
perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya
perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa
mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang
segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma.
Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan
Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang
lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang
mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam
pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak
bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang
tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi
nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.
Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka
semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang
dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan
Malaysia merdeka.
Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela
supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka
sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.
Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak
dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu
bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa
kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.
Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya.
Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan
alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa
dan pemerintahan oleh kita sendiri ...
No comments:
Post a Comment